Kita akan menemui banyak perkara yang amat bernilai apabila melihat dengan cara yang berbeza.
Satu kesilapan yang kita selalu lakukan adalah kita mengambil sikap mudah mengenai bakat yang kita ada.
Ramai orang setelah besar dewasa, mereka tidak tahu lagi apa bakat yang mereka ada. Mereka sukar untuk lihat bakat itu. Kerana setiap kali mereka melihat, mereka melihat dengan cara yang sama.
Satu lagi adalah kerana bakat adalah sesuatu yang sentiasa ada dengan diri mereka. Mereka rasa ia adalah perkara yang kecil lalu ia diambil mudah.
Untuk menyerlahkan bakat, salah satu kemestian adalah mengambil sikap serius untuk lihat kembali bakat yang kita ada selama ini. Ini mungkin bukan perkara yang mudah.
Perkara yang setiap hari kita dapat, kita tidak lagi bersyukur dan berfikir mengenainya. Kita akan mengambil mudah perkara itu. Udara dan air adalah benda yang sentiasa kita dapat setiap hari. Kita mengambil mudah dua benda tersebut dan menjadi sukar untuk kita rasa bersyukur. Begitu juga dengan bakat yang kita miliki. Ia sentiasa ada dengan kita. Sehingga kita mengambil mudah dan tidak perasan lagu kewujudannya.
Tuhan jadikan manusia mempunyai deria. Berapa deria yang kita ada? Kebanyakan orang akan mengatakan kita mempunyai 5 atau 6 deria. Penglihatan, bau, sentuhan, pendengaran dan rasa lidah. 5 deria itu mempunyai organ yang khusus. Manakala deria ke-enam, intuisi tidak mempunyai organ khusus.
Tetapi ada sebahagian manusia lain cuba melihat perkara ini dengan cara yang berbeza. Jika deria tidak memerlukan organ yang khusus, sebenarnya manusia ada banyak lagi deria yang lain. Deria keseimbangan badan misalnya. Kita dapat berjalan dengan seimbang kerana kita mempunyai deria yang dapat mengesan adakah badan kita senget atau tegak. Rasa sakit juga satu deria yang lain. Kita boleh merasa sakit dalam mimpi walaupun badan kita sebenarnya tidak cedera. Ini kerana kita mempunyai deria untuk rasa sakit.
Howard Gardner mengatakan kepintaran manusia bukanlah satu sahaja tetapi ada pelbagai. Ini termasuk kepintaran bahasa, muzik, matematik, kepintaran berkawan dan kepintaran untuk melihat diri sendiri. Semua kepintaran ini penting.
Seorang profesor psikologi di Universiti Tufts, Robert Sternberg mengkritik penggunaan ujian IQ sebagai penentu kepintaran. Baginya kepintaran ada tiga: kepintaran analitik iaitu menyelesaikan masalah menggunakan kemahiran akademik - untuk lulus ujian IQ; kepintaran kreatif iaitu kebolehan untuk menghasilkan idea bagi menyelesaikan masalah yang belum ada jawapan; dan kepintaran praktikal iaitu kebolehan untuk menghadapi masalah dan cabaran kehidupan.
Apabila kita melihat dengan cara yang berbeza, sebenarnya kejayaan hidup bukan hanya dengan satu cara. Kepandaian bukan hanya cemerlang di sekolah. Kepintaran bukan hanya pada lulus ujian IQ. Kebahagiaan bukan hanya dengan kemewahan dan kemasyhuran. Bakat dan kelebihan kita pastinya ada terselit di mana-mana.
Cuba lihat sekali lagi dengan cara yang berbeza. Jangan ambil mudah. .
Subscribe to:
Posts (Atom)
Social Icons